Kereta rosak di lebuh raya? Jangan panik, ikuti langkah ini!

full length of businessman with hands on head standing by broken down car at countryside.

LANGKAH 1 : PLUSRONDA
Jangan ambil apa-apa perkhidmatan kereta tunda yang ‘tidak diundang’ itu dengan apa jua alasan mereka kerana sebagai pengguna lebuh raya anda berhak mendapat perkhidmatan tunda secara PERCUMA daripada syarikat konsesi lebuh raya, contohnya oleh PLUSRONDA. Mereka akan membawa anda daripada lokasi kejadian sehingga ke hentian Rehat dan Rawat atau plaza tol yang berhampiran. Ini kerana penunda yang ‘tidak diundang’ ini selalunya sudah sediakan macam-macam bil untuk anda.

Apa yang perlu anda buat?

  1. Nyalakan lampu kecemasan kenderaan.
  2. Dapatkan lokasi kilometer (ada tanda km di tepi lebuh raya di setiap 100m).
  3. Telefon nombor bantuan syarikat konsesi lebuh raya, contohnya PLUSRONDA – 1800 88 0000.
  4. Nyatakan jenis kenderaan dan nombor plet kenderaan.
  5. Nyatakan kerosakan.
  6. Nyatakan nombor telefon untuk dihubungi.

LANGKAH 2 : TUNDA – SYARIKAT INSURANS
Selepas kenderaan anda dihantar ke hentian Rehat dan Rawat atau plaza tol terdekat, anda sekarang boleh menggunakan perkhidmatan tunda PERCUMA yang disediakan oleh syarikat insurans kenderaan anda ke bengkel yang anda kehendaki seperti pusat servis jenama kenderaan anda atau bengkel yang anda percayai.

Selalunya syarikat insurans menetapkan jarak yang diberikan PERCUMA seperti 200km ataupun lebih, mengikut polisi yang ditetapkan. Sekiranya lokasi tersebut lebih kilometer seperti yang ditetapkan, maka kadar tertentu akan dikenakan sebagai contoh RM1.50/km. Ada juga syarikat insurans menyediakan tuntutan sewa teksi untuk pulang ke rumah dan ada juga syarikat insurans menawarkan tuntutan kos penginapan hotel yang ditanggung kerana kerosakan tersebut mengikut terma-terma tertentu.

Jadi baca polisi anda, ketahui hak anda sebagai pengguna.

Apa yang perlu anda buat?

  1. Nyalakan lampu kecemasan kenderaan.
  2. Hubungi nombor khidmat bantuan syarikat insurans anda seperti yang tertera pada polisi atau pelekat yang diberi (biasa kita tampal dengan cukai jalan tu).
  3. Nyatakan lokasi kenderaan anda.
  4. Nyatakan jenis kenderaan dan nombor plet kenderaan.
  5. Nyatakan kerosakan.
  6. Nyatakan nombor telefon untuk dihubungi.

Dengan mengikuti langkah-langkah selamat ini, anda akan terhindar dari ‘konspirasi’ penipuan tersebut. Dan ingatlah, ada juga kerosakan yang sengaja dicipta oleh ‘syaitan bertopengkan manusia’ semasa anda berhenti di hentian Rehat dan Rawat tertentu. Kedua-dua perkhidmatan tunda samada dari syarikat konsesi lebuh raya dan syarikat insurans beroperasi 24 jam sehari selama 7 hari seminggu.

Jadi anda TIDAK PERLU RISAU ye!

No comment

Leave a Reply