BENARKAH kereta baharu kena pantang seperti diberitahu ramai orang? Bagaimana memandu kereta baharu dan apakah tempoh berpantang itu saranan pengeluar atau sekadar cakap-cakap orang?
kami akan jelaskan dalam artikel di bawah…
Sesebuah kereta mengandungi pelbagai komponen yang diikat atau saling bersambung antara satu sama lain, terutama bahagian enjin. Secara normal, apa saja benda yang bersambungan, pasti terdapat ruang salah padan (mismatch) yang sangat kecil atau dalam bahasa mudahnya, ruang longgar. Dalam kejuruteraan, ruang ini dipanggil toleran dan ia wujud supaya setiap komponen dapat beroperasi atau berfungsi dengan baik dan sempurna.
Misalnya, gelang piston perlu dilapiskan pada dinding silinder, di mana proses penyesuaian (run-in/break-in) diperincikan dalam manual pemilik. Kebiasaannya, pemandu disarankan supaya memandu perlahan pada jarak 1,600km pertama tanpa melangkau rev (rpm) tertentu. Namun, ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk menguji kereta baharu anda selain hanya memandu secara statik seperti dinasihatkan pengeluar.
1. CUBA PELBAGAI TAHAP KELAJUAN
Sebenarnya, memandu atas jalan raya dalam gear tinggi selama beberapa jam bukanlah cara terbaik kerana anda tidak mengenakan variasi beban ke atas enjin. Jadi, cuba memecut dalam gear tinggi dengan memainkan pendikit pada kelajuan berbeza, termasuk memandu dalam posisi gear di bawah gear paling atas, iaitu gear 4 untuk manual atau gear 3 untuk auto.
Jangan pula terlalu membebankan enjin dengan memandu dalam posisi gear pada kelajuan tidak munasabah, contohnya memandu gear lima pada kelajuan 40kmj.
2. ENJIN MESTI PANAS
Harus diingat, lakukan pandu uji ini hanya apabila enjin berada pada tahap suhu operasi, iaitu jarum tolok suhu dalam posisi separuh (lihat gambar atas), dan stabil. Faktanya, apa saja pemanduan laju atau ekstrem seeloknya dilakukan ketika enjin panas tidak kira sama ada kereta itu sudah bergerak atau tidak.
Namun, menghidupkan enjin dan membiarkan kereta melahu statik bukanlah cara betul untuk memanaskan enjin kerana anda hanya membazirkan bahan api dan meningkatkan proses kehausan komponen, walhal enjin masih sejuk. Anda sepatutnya memandu perlahan di bawah 3,000rpm sebaik sahaja enjin dihidupkan (kurang seminit).
3. TIDAK ELOK MEMANDU PADA REV TINGGI
Jika anda mahu melepasi takat RPM tertentu semasa tempoh run-in, terus lakukan saja asalkan dilakukan apabila enjin betul-betul panas atau dalam erti kata lain berada pada tahap suhu operasi. Anda tentu rasa teruja dan tidak sabar mencuba kuasa pecutan kereta baharu, tetapi bukan idea yang bagus untuk anda berlumba yang memerlukan enjin bergerak pada rev tinggi.
4. KURANGKAN BAWA BEBAN LEBIH
Satu lagi arahan run-in yang sering disarankan pengeluar ialah mengurangkan bawaan beban dalam kereta. Jadi, kurangkan memuatkan barangan berat sekurang-kurangnya pada tempoh awal pemililkan kereta. Kadangkala, sesetengah komponen baharu memerlukan proses pendasaran (bed-in) bagi membolehkan ia beroperasi optimum. Misalnya pad brek yang memerlukan tempoh tertentu supaya pad getah dapat melekap baik pada rotor brek, sekali gus memberikan kuasa hentian maksimum.
Walaupun kereta moden dibina dengan baik dan lebih reliabel berbanding kereta terdahulu, masih terdapat sebarang kemungkinan masalah berlaku. Malah, kereta lama yang digantikan enjin baharu juga memerlukan fasa run-in yang sama seperti kereta baharu. Jangan begitu mudah berkata OK, sebaliknya anda mesti selalu bertanya, kenapa? Jika tidak selesa dengan jawapan diterima, bertanyalah pula kepada mereka yang lebih pakar.
INGAT 2 NASIHAT INI
Pertama, jangan bandingkan kereta biasa dan kereta lumba dengan menganggap sesebuah model itu bagus jika ia bagus berlumba atas trek. Itu tidak benar sama sekali kerana kereta lumba memiliki pasukan mekanik pakar sendiri yang sentiasa memantau prestasi kereta, termasuk menjalani proses pembikinan semula setiap kali selesai perlumbaan. Kereta biasa tidak begitu!
Kedua ialah untuk pemilik kereta lama. Kereta-kereta lama atau terpakai memiliki toleran komponen yang tinggi. Jadi anda perlu berhati-hati dengan melakukan proses run-in yang lebih lama. Walaupun proses run-in kereta baharu tetap ada, tetapi kurang kritikal ke atas jangka hayat kereta dan anda tidak perlu risau seperti mana kereta keluaran 10-30 tahun lalu.
Namun, proses run-in seperti disarankan pengeluar ialah bersebab, dan tidaklah sesukar mana untuk dipatuhi. Malah, ia mengurangkan banyak isu berbangkit mengenai perlindungan waranti. Ikut sajalah. Lagipun, bukankah anda sepatutnya melayan kereta baharu seperti mana ia patut dilayan?
No comment