Dapat sahaja kereta baru, tentu ramai pembeli terus merancang untuk melakukan sedikit sebanyak perlindungan pada cat dan sebagainya. Apatah lagi model baru, tentu bangga meluncur di jalan raya dalam keadaan yang berkilat.
Antara soalan yang selalu ditanya untuk kereta baru adalah penjagaan cat kereta. Nak buat polish, wax atau coating, semuanya terpulang pada anda. Jadi apa perbezaan polish, wax dan coating ni?
Perlu polish / wax / coating kereta baru?
Kereta anda memang baru tetapi cat yang mewarnai badan kereta telah lama berada pada kenderaan tersebut. Pernah tengok tempat letak kereta sebelum sampai ke tangan anda? Ia terdedah dengan panas matahari, tinja burung, debu dan pelbagai kotoran lagi.
Sudah tentu, kereta yang sampai di tangan anda nampak berkilat. Hal ini kerana mereka adalah penjual dan tentunya seorang penjual mahu produk jualan mereka nampak baru. Semua kereta yang baru diterima anda sudah pun menerima sekurang-kurangnya proses wax
Tujuannya adalah bagi menaikkan seri kenderaan tersebut. Macam pengantin juga ya. Kalau dengar cakap penjual, Proton X50 pun dikatakan teknologi Volvo jadi berpada-pada dengan sebarang nasihat orang yang sedang menghidu duit anda.
Keperluan untuk menjaga cat kenderaan tertakluk kepada individu. Antara golongan yang sesuai untuk melakukan wax atau coating pada kenderaan adalah:
- Mahu kereta berkurangan susut nilai
- Menganggap kereta sebagai imej dan status
- Suka kereta bersih dan mudah dibersihkan
- Elak cat kereta kusam, lampu kekuningan
- Ada duit lebih
Oleh itu, jika anda berminat untuk melakukan sebarang perlindungan atau mengilatkan kenderaan, di bawah adalah panduan dan perbezaannya.
Polish (Kilat)
Tugas-tugas mengilatkan kenderaan anda adalah langkah awal dan paling asas. Polish bertujuan untuk mengilatkan kereta di samping cara membuang kotoran yang tidak dapat ditanggalkan dengan cara mencuci biasa.
Selalunya jika ada calar-calar halus, polish cukup untuk menutup tanda-tanda yang tidak diingini tersebut.
Kekurangan polish adalah ia tidak memberikan apa-apa perlindungan ke atas cat kereta.
Wax
Wax merupakan suatu lapisan yang melindungi permukaan cat selepas dikilatkan. Walaubagaimanapun, lapisan wax akan habis dalam jangkamasa sekitar 3 bulan, bergantung kepada keadaan.
Kelebihan wax adalah ia lebih murah berbanding coating namun hanya bertahan 3 bulan akibat terhakis dengan panas dan kelembapan.
Coating
Coating juga merupakan satu lapisan untuk melindungi cat kereta. Walaubagaimanapun, proses melakukan coating lebih lama dan lebih rumit. Pembetulan warna cat dan tambah kilat dilakukan sebelum lapisan coating ini dilakukan. Coating juga mampu bertahan lebih lama dengan penjagaan yang betul
Kereta tahan calar selepas coating?
Antara mitos yang selalu digembar-gemburkan oleh peniaga spa kereta atau yang seangkatan dengannya selalu mendakwa bahawa kereta akan tahan calar selepas coating. Tak perlu selalu basuh kereta dan sebagainya.
Perkongsian daripada Lawrence Tey, pemilik Finest Auto Detailing Centre mendakwa sebaliknya. Anda perlu lebih kerap mencuci kereta selepas melakukan coating kerana selepas lapisan coating diletakkan, ia memudahkan kotoran untuk dicuci kerana kotoran tidak mudah ‘melekat’ pada permukaan kenderaan.
Hal ini kerana pori-pori mikro pada permukaan cat telah ditutup oleh lapisan coating. Lapisan coating maksimum yang disyorkan adalah sekitar 2 hingga 3 lapisan sahaja. Satu lapisan mengambil masa lebih 4 jam. Kalau lebih dari lapisan, ia akan jadi membazir.
Tips tambahan
Berhati-hati dengan harga servis wax dan coating yang murah. Seperti yang didedahkan, kadangkala peniaga memaparkan harga coating tetapi sebenarnya anda perlu melakukan polish, colour correction dan gloss enhancement sebelum mendapatkan harga coating tersebut.
Seperti mana servis-servis yang dilakukan terhadap kereta, skil adalah lebih penting berbanding harga. Pastikan peniaga pusat kecantikan kereta yang anda kunjungi itu berpengalaman dan memiliki maklum balas yang memuaskan.
No comment