9 PERKARA YANG PERLU ANDA TAHU SEBELUM BELI TINTED KERETA

 

Malaysia memang terkenal dengan cuaca yang panas terik hampir sepanjang tahun. Dengan suhu purata sekitar 28˚C dan adakalanya mencecah 35˚C sejak kebelakangan ini, maka tidak hairanlah jika warga

Malaysia mengelak untuk berhadapan dengan cuaca ini melalui pelbagai cara.

Bagaimanapun, kita harus bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain untuk menunaikan tanggungjawab tertentu. Ia membawa kita kepada persoalan ini, pernahkah anda menaiki kereta yang tidak dilindungi oleh lapisan filem?

Jika ya, maka anda mungkin pernah merasakan kesannya yang menjurus kepada suasana yang tidak selesa atau mengalami sunburn terutama jika anda memandu atau menumpang kereta berkenaan untuk tempoh yang lama.

Cahaya matahari bukan sahaja menyebabkan anda berpeluh dan berasa tidak selesa, malah ia juga memancarkan sinaran ultraungu serta inframerah yang boleh merosakkan kulit dan mata.

Sebagai permulaan, kita harus memahami perkara berikut:

1. Apakah yang dimaksudkan dengan Peratus Ketelusan Cahaya (VLT) dan Faktor Perlindungan Matahari (SPF)?

Tahap ketelusan cahaya yang biasanya ditunjukkan dalam nilai peratusan bersamaan dengan peratusan cahaya yang dapat menembusi tingkap sesebuah kenderaan.

Dalam erti kata lain, VLT 30% dapat menapis 70% cahaya nyata. Manakala 30% lagi mampu menembusi tingkap kenderaan berkenaan. Filem tingkap akan kelihatan lebih gelap sekiranya tahap VLT lebih rendah.

SPF pula adalah pengiraan yang menunjukkan berapa lama sesuatu bahan pelindung matahari (sunscreen) dapat melindungi kulit kita daripada sinaran ultraungu B (UVB).

Sinaran UVB biasanya mengakibatkan kerosakan pada epidermis, iaitu lapisan kulit di bahagian luar. SPF lazimnya mempunyai 3 tahap seperti yang dipaparkan pada mana-mana bahan pelindung matahari:

  • SPF 15 menangkis 93% sinaran UVB
  • SPF 30 menangkis 97% sinaran UVB
  • SPF 50 menangkis 98% sinaran UVB

Secara ringkas, jika anda memakai bahan pelindung matahari yang mempunyai SPF 30, anda akan memperoleh perlindungan 30 kali ganda lebih banyak berbanding tidak mempunyai sebarang pelindung matahari.

2. Perbezaan kualiti filem kereta

Pernahkah anda melihat filem kereta berubah warna, menggelembung atau mengelupas? Ia biasanya disebabkan oleh filem bergred rendah yang terdedah kepada risiko-risiko yang dinyatakan di atas. Tambahan lagi, harganya mungkin jauh lebih murah berbanding jenama lain yang dipercayai.

Berkemungkinan besar ia bukan sahaja tidak berupaya untuk melindungi anda dan ruang kabin kereta daripada sinaran UV berbahaya, malah tidak dapat menangkis kehadiran haba. Filem cermin kereta seperti ini hanya dipromosikan untuk estetikanya.

Tinted bergred rendah boleh didapati daripada mana-mana kedai aksesori kereta. Tetapi aspek kualiti, jangka hayat, perlindungan dan sekuriti yang ditawarkan olehnya tidak terjamin. Kos filem berkualiti tinggi daripada jenama terkenal biasanya boleh didapati pada harga sekitar RM700 hingga RM5,000.

3. Ciri-ciri perlindungan asas

Pendedahan kepada sinaran matahari boleh menjurus kepada masalah kulit atau lebih teruk lagi, kanser kulit.

Justeru, pemilihan filem yang betul perlu dibuat agar anda memperoleh perlindungan yang sewajarnya. Filem yang berkualiti tinggi sekurang-kurangnya didatangkan dengan ciri perlindungan UV dan penangkis haba. \

Kebanyakan filem kereta yang standard dapat menangkis 99% sinaran UV.

4. Pilih jenama yang dipercayai

Pengeluar atau pengedar produk filem kereta boleh memberikan pelbagai jenis kenyataan tentang produk mereka. Namun kenyataan mana yang benar-benar sahih?

Anda boleh cuba menjawab soalan tersebut dengan membuat kajian. Cuba dapatkan lampiran spesifikasi produk berkenaan di dalam talian untuk mengesahkan dakwaan mereka atau cari jenama yang memiliki akreditasi pihak ketiga.

Jenama filem kereta seperti 3M disyorkan oleh pertubuhan kanser kulit Amerika Syarikat kerana ia menawarkan faktor perlindungan matahari (SPF) yang berjumlah lebih 1,000 iaitu 30 kali ganda lebih tinggi berbanding produk bergred tinggi yang seumpamanya.

Tahap SPF filem yang tinggi memberi perlindungan daripada komplikasi seperti selaran matahari, penuaan pramatang dan kanser kulit yang disebabkan oleh sinaran UV matahari. Dengan menangkis radiasi cahaya UV, filem kereta juga mampu melindungi kabin kenderaan daripada masalah kusam dan retak.

5. Kekal nyaman dan kurangkan penggunaan bahan api 

Harus tahu bahawa penggunaan filem semata-mata tidak dapat menangkis semua haba yang diserap oleh ruang kabin kenderaan. Namun, dengan bantuan filem kereta bergred tinggi, jumlah haba yang signifikan dapat ditapis mengikut kadar ‘Total Solar Energy Rejected’ (TSER).

TSER ialah terma yang biasanya dapat dilihat pada produk filem kereta. Ia merujuk kepada jumlah haba yang

dapat ditangkis oleh filem berkenaan. Lagi tinggi nombor tersebut, maka tinggilah jumlah haba yang dapat ditangkis.

Kereta juga akan nyaman dengan lebih cepat jika jumlah haba dapat dikurangkan. Ini bermakna anda tidak perlu menaikkan tahap kesejukan penyaman udara, seterusnya membantu menjimatan bahan api.

6. Sekuriti dan keselamatan

Selain melindungi pemandu dan penumpang daripada sinaran UV, filem bercirikan ‘sekuriti’ mampu menahan serpihan kaca tingkap yang telah retak/pecah daripada melayang atau bertaburan sekiranya berlaku kemalangan atau kereta dipecah masuk.

Harus tahu bahawa filem sekuriti bukannya 100% tidak boleh ditembusi kerana dalam keadaan kecemasan, tingkap kenderaan masih perlu diakses oleh pihak yang melakukan misi menyelamat.

7. Jaminan

Selain spesifikasi, anda juga perlu mendapatkan informasi berkaitan waranti. Kebanyakan produk bergred tinggi didatangkan dengan waranti dan akan ditunaikan oleh pengedar bertauliah. Sekiranya filem rosak dalam tempoh jaminan yang ditetapkan, anda boleh membuat tuntutan.

Sebab itulah anda perlu membeli daripada pengedar sah untuk memastikan waranti anda sah. Anda boleh

melayari laman web jenama produk berkenaan dan dapatkan senarai pengedar bertauliah berhampiran.

Ini dapat memastikan produk anda dilindungi oleh waranti dan tuntutan boleh dibuat walaupun jika wakil pengedar tersebut tidak lagi beroperasi.

Anda juga perlu membandingkan tempoh dan perlindungan waranti kerana sesetengah jenama menawarkan tempoh jaminan yang lebih lama. Pendek kata, pengguna disaran memilih jenama yang mempunyai rekod kualiti serta khidmat selepas jualan yang baik.

8. Adakah filem terlogam sesuai untuk saya?

Filem terlogam (metallized film) juga popular dalam pasaran filem kereta kerana harga dan kualitinya. Ia mungkin dilihat sebagai pilihan yang ideal, namun filem terlogam mempunyai beberapa isu tersendiri. Oleh kerana filem ini diperbuat daripada sebatian logam, ia boleh mengganggu signal yang digunakan oleh GPS, telefon mudah alih, tag RFID dan sebagainya.

Isu lain ialah hakisan kerana logam yang terdedah kepada air dan udara akan mencetuskan reaksi kimia.

Hakisan bukan sahaja boleh merosakkan penampilan filem tersebut, malah keupayaan penapisan haba produk berkenaan juga akan turut terjejas.

Kemudian, warna filem tersebut akan berubah menjadi ungu atau perang, seterusnya mengganggu penglihatan pemandu. Sebelum anda mahu membeli filem terlogam, anda pertimbangkan dahulu perkara yang telah dinyatakan ini.

9. Keupayaan menangkis haba tidak bergantung kepada tahap kegelapan filem

Pertama, periksa piawaian penggunaan cermin gelap/filem kereta terlebih dahulu agar anda dapat mengelakkan sebarang komplikasi melibatkan pihak berkuasa.

Peraturan terkini bagi penggunaan filem kereta di Malaysia ialah VLT 70% untuk cermin tingkap hadapan, VLT 50% untuk cermin tingkap sisi dan tahap VLT bebas untuk cermin tingkap belakang.

Filem gelap tidak semestinya dapat menangkis haba dengan lebih baik berbanding filem lut sinar kerana kadar tangkisan haba sebenarnya bergantung kepada ‘Total Solar Energy Rejected’ (TSER).

Kesimpulannya, pemilihan filem kereta adalah subjektif. Setiap orang mempunyai kecenderungan, bajet dan keperluan yang berbeza. Saya berharap panduan yang dikongsikan ini dapat membantu anda memilih filem kereta yang tepat untuk keperluan anda!

No comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *